budakpro.webs.com

World without boundries

Blog Cerita & Story

BICARA TEKUKUR

Posted by budakpro on January 30, 2014 at 5:00 AM

  Terdengar kukuran tekukur. Bicara antara mereka yang saling bersahutan sungguh meriah. Apakah yang dibicarakan oleh mereka. Rancak sekali perkara yang dibualkan oleh tekukur itu sedangkan aku termangu seorang diri di veranda dalam suasana petang yang damai dengan pohonan hijau mengisi pandangan.

 

Ingin sekali aku ketahui apa yang dibicarakan oleh mereka. Boleh aku menyuarakan pendapat dan pandanganku. MerekaBebas berbicara. Malangnya kau bukan kepunyaanku wahai tekukur. Jika tidak, tentu telah aku lepaskan kau terbang bebas bertemu rakanmu agar dapat kau bermain mesra dengan mereka.

 

Kau terikat di lamanmu. Makanan dan minuman yang disediakan entah menyelerakan atau tidak. Hanya kau yang tahu wahai tekukur. Adakah itu yang kau bicarakan dengan rakanmu? Tentang tuanmu yang sentiasa menjaga dan membelaimu. Tentang tuanmu yang sentiasa memastikanmu sihat setiap hari. Itukah yang dibicarakan? Tentang keperluanmu yang sentiasa cukup dan dipastikan oleh tuanmu setiap hari.

 

Bahgiakah kau wahai terkukur?

 

Setiap hari kita bertemu tapi tidak pernah bertegur sapa. Kau memandangku dan begitu juga aku. Kita saling mengenali walaupun tanpa kata. Hanya perasaan dan pengamatan yang berbicara. Ingin sekali aku katakan padamu yang kau cantik, suaramu merdu dan gerakmu indah. Pastinya itu semua dari hatimu yang tulus ikhlas lantas ia menjadi satu keindahan yang menyerlah memikat setiap yang memandan. Pasti lebih indah jika kau bersama yang lain.

 

Rumahku tidak besar. Rumahmu juga tidak besar. Ia selesa buatku dan aku rasa kau pun begitu. Aku bebas ke sana kemari. Manakala kau pula terikat di lamanmu. Tidak dapat kupasti adakah ini kebahgiaan. Tapi aku bersyukur dengan setiap yang di sekelilingku. Dengan adanya kau, keluargku dan jiran-jiranku yang sentiasa menemani. Aku harap kau pun bahagia dengan sekelilingmu.

 

Bebas bergerak tak bermakna bahagia, jika fikiran tertutup. Jauh berjalan menjanjikan pengalaman yang banyak. Namun tidak akan bermakna jika tidak disertai dengan fikiran yang waras.

 

Hari semakin gelap dan kau pun semakin senyap wahai tekukur. Begitu juga dengan rakan-rakanmu. Waktu malam pasti menjanjikan kedamaian jika ditemani kesunyian. Rehatlah kau sebagaimana rehatnya makhluk-makhluk yang lain. Esok kita akan bertemu lagi.

Categories: Bicara Bisu

Post a Comment

Oops!

Oops, you forgot something.

Oops!

The words you entered did not match the given text. Please try again.

Already a member? Sign In

0 Comments